Firman Allah

“BOLEH JADI KAMU MEMBENCI SESUATU, PADAHAL IA AMAT BAIK BAGIMU, DAN BOLEH JADI KAMU MENYUKAI SESUATU, PADAHAL IA AMAT BURUK BAGIMU” (AL-BAQARAH:216)

Showing posts with label Solat. Show all posts
Showing posts with label Solat. Show all posts

03 May 2011

AZAN: LAMBANG SYIAR ISLAM

Azan merupakan lafaz khusus yang disyariatkan oleh Islam untuk menyatakan masuknya waktu sembahyang fardhu dan menyeru orang-orang Islam supaya berkumpul untuk mengerjakannya.

Azan dari segi bahasa ialah “al-i`lam” (pemberitahuan) atau “an-nida’” (seruan). Ini dapat dilihat di dalam al-Qur’an sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Pemberitahuan daripada Allah dan RasulNya kepada sekalian manusia.”
(Surah at-Taubah: 3)

Begitu juga firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji…”
(Surah al-Haj: 27)

Dari segi syara` pula, azan ialah suatu gabungan perkataan tertentu untuk mengetahui waktu sembahyang fardhu atau boleh diertikan sebagai pemberitahuan tentang waktu sembahyang dengan lafaz-lafaz tertentu.

Azan disunatkan ketika hendak mendirikan sembahyang sama ada sembahyang tunai atau qadha’. Hukum azan adalah sunat mu’akkadah `ala al-kifayah bagi sesuatu kumpulan. Ini bermakna tuntutan sunatnya terlaksana walaupun tidak dilakukan oleh semua ahli kumpulan tersebut. Bagi individu pula, ia merupakan sunat `aini atau dengan kata lain pahala sunat diperolehi apabila seseorang itu melakukannya.

Al-Qur’an, as-Sunnah dan al-Ijma` menyatakan bahawa azan adalah suatu syariat di dalam Islam. Ini adalah kerana ia mempunyai banyak kelebihan dan pahala yang besar. Dalil daripada al-Qur’an ialah firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Jika kamu dipanggil (diseru) untuk sembahyang…”
(Surah al-Ma’idah: 58)

Dalil daripada as-Sunnah pula merangkumi banyak hadith. Antaranya ialah sebuah hadith yang bermaksud:

“Apabila tiba waktu sembahyang hendaklah salah seorang kamu melakukan azan dan yang lebih tua daripada kamu hendaklah menjadi imam.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Al-Bazzar meriwayatkan bahawa:

“Nabi s.a.w. pada malam isra’ telah diperlihatkan dengan azan dan diperdengarkan kepadanya di atas langit yang ketujuh. Kemudian Jibril mendatanginya, lalu dia menjadi imam kepada ahli langit. Antara mereka ialah Nabi Adam a.s. dan Nabi Nuh a.s., Allah s.w.t. menyempurnakan kemuliaan baginya ke atas penduduk langit dan bumi”.

Menurut pendapat jumhur ulama’, terdapat beberapa adab dan tertib dalam melaksanakan azan. Antaranya ialah:

1. mu’azzin hendaklah tidak menerima upah apabila melaksanakan tugasnya.

2. mu’azzin harus suci daripada hadath kecil, hadath besar dan najis.

3. mu’azzin hendaklah menghadap qiblat ketika mengumandangkan azan.

4. ketika membaca “hayya `ala as-salah”, mu’azzin hendaklah menghadapkan muka dan dadanya ke sebelah kanan dan ketika membaca “hayya `ala al-falah” menghadapkan muka dan dadanya ke sebelah kiri.

5. mu’azzin memasukkan dua anak jarinya ke dalam kedua telinganya.

6. suara mu’azzin hendaklah nyaring.

7. mu’azzin tidak boleh bercakap ketika mengumandangkan azan.

8. orang-orang yang mendengar azan hendaklah menyahutnya secara perlahan-lahan dengan lafaz yang diucapkan oleh mu’azzin, kecuali pada lafaz “hayya `ala as-salah” dan “hayya `ala al-falah”. Kedua-duanya disahut dengan “la haula wala quwwata illa bi Allah” yang bermaksud “tiada daya dan kekuatan kecuali daripada Allah”.

9. setelah selesai azan, mu’azzin dan yang mendengar azan hendaklah berdoa: “Allahumma rabba hazihi ad-da`wah at-tammah wa as-salati al-qa’imah, ati Muhammadan al-wasilah wa al-fadhilah wab`athhu maqaman mahmudan allzi wa`adtah” yang bermaksud “wahai Allah, Tuhan yang menguasai seruan yang sempurna ini dan solat yang sedang didirikan, berikanlah kepada Nabi Muhammad kurnia dan keutamaan serta kedudukan yang terpuji yang telah Engkau janjikan untuknya” (Riwayat Bukhari).

Selain itu, melakukan azan mempunyai beberapa kelebihan dan mendapat pahala yang besar. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:

“Kalaulah orang ramai mengetahui pahala yang ada dalam azan dan pahala dalam barisan pertama sembahyang, kemudian mereka tidak ada jalan selain membuat undian untuk mendapatnya, nescaya mereka akan masuk undian itu.”
(Riwayat Muttafaq `Alayh)

Rasulullah s.a.w. juga bersabda yang bermaksud:

“Jika kamu berada bersama-sama dengan kambing kamu atau di kebun kamu dan engkau berazan untuk sembahyang. Hendaklah engkau angkatkan suara menyeru orang bersembahyang, sebab suara orang yang azan tidak didengar oleh jin atau manusia ataupun sesuatu kecuali dia menyaksikan baginya pada Hari Akhirat.”
(Riwayat Bukhari)

Dalam sebuah hadith yang lain ada disebut:

“Tukang azan adalah orang yang paling panjang leher di Hari Akhirat.”
(Riwayat Muslim, Ahmad dan Ibnu Majah)

Menurut pendapat yang sahih daripada ulama’ Syafi`i dan Hanbali, azan beserta iqamah adalah lebih baik daripada menjadi Imam. Ini disebabkan Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

“Siapakah yang lebih bagus perkataannya daripada orang yang berdoa kepada Allah dan beramal salih.”
(Surah Fussilat: 33)

`A’isyah berkata: “Mereka yang dimaksudkan oleh ayat tersebut ialah tukang azan”. Di dalam hadith lain ada juga menyebut:

“Imam adalah bertanggungjawab (damin), tukang azan adalah orang yang dipercayai (amanah). Ya Allah, berilah petunjuk kepada imiam-imam dan ampunilah tukang azan”.
(Riwayat Syafi`i, Ahmad, Abu Dawud,Tirmizi,
An-Nasa’i, Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaimah)

Amanah lebih tinggi daripada daman dan keampunan adalah lebih tinggi daripada petunjuk. Nabi Muhammad s.a.w. dan para khalifah tidak melakukan tugas azan ini kerana mereka tidak mempunyai banyak masa. Menurut pendapat ulama’ Hanafi, iqamah dan menjadi imam adalah lebih baik daripada azan kerana Nabi Muhammad s.a.w. dan para khalifahnya menjalankan tugas imam, tetapi mereka tidak menjalankan tugas menjadi tukang azan.

26 April 2011

Solat yang Tidak Dianggap Solat



Rasulullah S.A.W telah bersabda bahwa : “10 orang solatnya tidak diterima oleh Allah S.W.T, antaranya :

1. Orang lelaki yang solat sendirian tanpa membaca sesuatu.

2. Orang lelaki yang mengerjakan solat tetapi tidak mengeluarkan zakat.

3. Orang lelaki yang menjadi imam, padahal orang yang menjadi makmum membencinya. .

4. Orang lelaki yang melarikan diri.

5. Orang lelaki yang minum arak tanpa mahu meninggalkannya (Taubat).

6. Orang perempuan yang suaminya marah kepadanya.

7. Orang perempuan yang mengerjakan solat tanpa memakai tudung.

8. Imam atau pemimpin yang sombong dan zalim menganiaya.

9. Orang-orang yang suka makan riba’.

10. Orang yang solatnya tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar.”

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :
“Barang siapa yang solatnya itu tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan keji dan mungkar, maka sesungguhnya solatnya itu hanya menambahkan kemurkaan Allah S.W.T dan jauh dari Allah.”

Hassan r.a berkata : “Kalau solat kamu itu tidak dapat menahan kamu dari melakukan perbuatan mungkar dan keji, maka sesungguhnya kamu dianggap orang yang tidak mengerjakan solat.

23 April 2011

Kesilapan Dalam Amalan Ibadat


KESILAPAN / KETIDAKSEMPURNAAN DALAM AMALAN DAN IBADAT

Sejak sekolah rendah hinggalah sekarang, penceramah yg paling diminati dan dikagumi ialah Dato’ Ismail Kamus..tak pernah jemu mendengar ceramah beliau..

Berikut adalah bahagian ke-3
himpunan kesilapan / ketidak kesempurnaan dalam ibadat yg dipetik daripada ceramah2 beliau:

1. Selalunya ketika kita sedang berpuasa sunat, apabila ada orang ajak makan kenduri, kita akan menolak..dengan alasan kita sedang berpuasa..sayang sgt nak bukak puasa kononnya nak dapat pahala puasa penuh..

Sebenarnya, kalau dlm keadaan macam ni, adalah lebih baik utamakan utk kita bukak puasa dan pergi kenduri tersebut..kerana memperkenankan jemputan itu lebih utama daripada kita meneruskan puasa sunat tersebut…hmmm, bukak puasa pun boleh dapat pahala lebih..takkan tak nak?

2. Ramai yang menganggap Islam ini hanya pada ibadat sahaja..hukum solat, puasa, haji dijaga sepenuhnya.. tetapi hukum-hukum yang lain langsung tidak mahu ikut cara Islam contohnya bab riba, rasuah, dan sebagainya. Islam itu syumul (menyeluruh) .

3. Sesetengah masjid suka bertarhim (baca ayat al-Quran sebelum azan Subuh) dan dilaungkan kuat2 speaker tu sampai satu kampung dengar…kadang2 sejam atau setengah jam sebelum azan dah bunyi dah..

HARAM hukumnya kerana mengganggu orang tidur. Kena ambil kira orang di sekeliling tu mungkin ada orang tua, kanak2 baru lahir, orang sakit, orang yg tidur semula selepas bangun tahajjud, dsb…buat apa nak kacau mereka tidur? Yang disyariatkan dalam agama adalah azan Subuh sahaja..kalau nak baca al-Quran pun baca sorang2 cukup..tak payah bagi sekampung dengar…rasa2 macam dapat pahala, rupa2nya dapat bala…

Sebenarnya kalau kita sedang baca al-Quran sorang2, tiba2 kawan sebelah kita tertidur, kita kena berhenti membaca al-Quran sebab menghormati orang yg sedang tidur itu..inikan pulak sekampung?? Kalau nak bertarhim kuat2 pun agak2 dalam 10 minit atau 5 minit sebelum azan tu cukuplah..tak payah lama2…sempat la orang nk bangun bersiap2 utk ke masjid..Kalau ada AJK masjid yg baca ni, please advise..

4. Apabila kita hendak sembahyang, tiba2 hidangan makanan dah
disediakan, makanlah dulu..ini kerana bimbang kita tak khusyuk dalam sembahyang nanti..begitu juga jika kita terlalu mengantuk, tidurlah dulu baru sembahyang.. tapi dengan syarat masih di awal waktu lah..

5. Sesetengah orang menghadapi masalah ketika hendak bertakbiratul ihram..kadang2 angkat takbir berulang-ulang kali tapi masih tak masuk niat jugak..itu cumalah gangguan syaitan sahaja..memang ada syaitan yg tugasnya khas hanya utk mengacau orang yg sedang bertakbiratul iham sahaja.. pedulikan bisikan syaitan itu, yakin dengan diri sendiri…

Berkenaan dengan niat pula; niat itu bukannya dibaca dalam hati, tapi hanya lintasan dalam hati sahaja..jika dibaca, itu yg menyebabkan susah nak masuk sebab panjang sgt nak dibaca..Apa yg dikhuatiri adalah berikut: Jika anda sudah bertakbiratul ihram kali pertama dan andainya ia sudah sah disisi Allah, tapi kemudian anda ragu2 lantas anda turun semula dan takbir utk kali kedua..Takbir kali kedua itu akan menyebabkan solat anda menerusi takbir pertama tadi terbatal..dan jika anda meneruskan solat dengan takbir kedua itu, bermakna anda meneruskan solat dalam keadaan solat yang terbatal..Melainkan anda melakukan takbir kali ketiga..Jadi kesimpulannya, make yourself firm & confident ketika takbir seelok-eloknya dapat pada takbir pertama & jgn peduli dengan bisikan syaitan..

6. Terdapat segelintir imam yg berdoa selepas solat akan memulakan doa dengan “Hamdan hamidin”, “Hamdan zakirin”, atau “Hamdan syakirin”.. Bunyinya memang sedap, tapi dari segi nahu bahasa arabnya salah…ini kerana terdapatnya huruf Alif Lam pada perkataan kedua di setiap bacaan tersebut..

Jadi yg sebetulnya harus disebut begini: “Hamdal-hamidin” , “Hamdaz-zakirin” dan ” Hamdasy-syakirin” . (p/s: huruf z adalah huruf zal).

7. Menurut mazhab Shafie, mesti terdapat 7 anggota yg menyentuh tanah ketika kita sedang sujud iaitu dahi, kedua2 tapak tangan, kedua2 lutut dan kedua2 PERUT ibu jari kaki (hidung sunat sahaja)..

yang nak ditekankan di sini adalah berkenaan perut ibu jari kaki, bermakna ibu jari kaki mestilah dilentikkan ketika sujud barulah perutnya boleh mencecah tanah..terdapat ramai orang yg kakinya menegak sahaja tanpa dilentikkan.

Ketika sujud..tak sah solat kalau macam tu..lagi satu yg selalu mesti diperhatikan ialah ketika sujud sebelum tahiyat akhir, ada yg dah standby siap2 dah kakinya disilangkan seperti tak sabar2 hendak duduk tahiyat akhir..itu pun tak sah juga solatnya..berjaga2. .jangan disebabkan hal yg kita anggap remeh camni menyebabkan solat kita tak diterima oleh Allah..

8. Di bulan puasa, orang kita rajin menghantar kuih2 atau juadah2 ke rumah jiran..memang bagus sekali..tapi silapnya di mana? Orang kita selalu mengharapkan dibalas juadah tadi..itulah silapnya..niat dah lari..Kalau menghantar kuih-muih ke rumah sebelah, niatlah kerana Allah..jangan mengharapkan dibalas..kalau dibalas itu rezeki lah..

9. Apabila kita bersolat di tempat yg limited space tapi ramai orang,
contohnya di surau R&R, dalam kapal terbang, dan sebagainya, sesudah kita solat, terus aje bangun utk bagi ruang kpd orang lain utk solat..tak payah nak berwirid la, doa panjang2 la, sembahyang sunat ba’diah la, ape la..

sebab lebih utama utk kita bagi orang lain peluang utk solat, menunaikan perkara wajib berbanding kita nak buat perkara2 sunat..lebih2 lagi kalau waktu maghrib sebab waktunya pendek..kat R&R ramai orang camni..

10. Menunaikan haji sememangnya adalah rukun bagi kita..tetapi kita kena pandai menyusun keutamaan..contohnya jika kita dah cukup duit nak pergi haji tahun ni, tiba2 ada saudara kita yg jatuh sakit memerlukan kos perubatan yg tinggi, kita kena tangguhkan dulu pergi haji tu..guna duit tu utk membantu saudara kita..itu yg dituntut dalam Islam..

11. Jika kita hendak sembahyang sunat, tiba2 ada tetamu datang rumah, kita kena tangguhkan sembahyang itu dan pergi layan tetamu dulu..itu yg lebih utama..contohnya apabila selesai solat zohor, kita hendak solat ba’diah, tiba2 ada tetamu datang..tangguhkan solat ba’diah tu dan pergi layan tetamu dulu..selepas dah selesai baru buat solat ba’diah.. dan jika dah tak sempat, solat ba’diah zohor boleh diqada selepas solat asar..walaupun selepas asar dah tak boleh solat sunat lagi, tetapi jika utk qada solat ba’diah zohor boleh..kerana ini pernah dibuat sendiri oleh nabi..tapi itu pun jika ada hal yg tak dapat dielakkan..kalau saja2 nak qada tak boleh..

Sebagai kesimpulan kepada point2 di atas, kita hendaklah pandai menyusun keutamaan dalam beribadat..
utamakan yg lebih utama..jika kita gagal mengutamakan yg lebih utama boleh menyebabkan ibadat kita sia2 sahaja, malah sesetengahnya boleh mengakibatkan dosa pula..

Manusia selalu heboh sibuk mencari sesuatu di dunia yg bakal ditinggalkan, tak
dihebohkan utk mencari menyiapkan sesuatu yg bakal dibawa ke akhirat…..
Renung-renungkanlah .

dipetik dr Hakim Tasdiq

21 April 2011

Kesempurnaan Saf


KALIMAT yang sering kita dengar dari mulut imam sebelum memulakan solat adalah “Luruskan saf (barisan dalam solat berjemaah)” atau “Rapatkan saf”. Namun berapa ramai yang benar-benar mengikuti arahan imam tersebut? Berapa ramai yang mengetahui apa maknanya meluruskan saf mengikut sunah Rasulullah s.a.w. yang sahih?

Para ulama sepakat bahawa saf pertama adalah saf terbaik dan besar keutamaannya bagi jemaah lelaki dalam bersolat.Manakala bagi saf jemaah perempuan, saf paling utama adalah saf paling akhir sekali. Ia sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:
Sebaik-baik saf barisan lelaki yang paling depan, dan yang terburuk ialah yang paling belakang, dan sebaik-baik barisan perempuan yang terakhir, dan yang terburuk ialah yang paling depan. (Riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan Abu Hurairah: Andaikata manusia mengetahui apa yang ada di dalam panggilan azan dan memenuhi saf paling depan, kemudian mereka tidak berjaya mendapatkannya (saf paling depan itu) kecuali jika mereka berlumba untuk mendapatkannya, pasti mereka akan berlumba. (Riwayat Bukhari).
Disebut juga di dalam hadis Rasulullah s.a.w. bahawa saf di sebelah kanan mempunyai lebih keutamaan berbanding saf di sebelah kiri. Daripada Aishah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat terhadap orang yang berada di saf sebelah kanan. (Riwayat Ibnu Majah)


Di antara fadilat solat di saf pertama:

1) Menjaga kesempurnaan saf pertama sama seperti safnya para malaikat. Riwayat Jabir bin Samurah yang berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: ”Tidakkah kamu berbaris sebagaimana saf para malaikat di sisi Tuhan-Nya?” Kami bertanya: “Ya Rasulullah, bagaimanakah saf mereka di depan Tuhan?” Jawab Nabi: “Menyempurnakan barisan pertama dan rapat benar dalam barisan.” (Riwayat Muslim)

Daripada hadis di atas dapat kita fahami bahawa mereka yang memenuhi saf paling depan ketika solat adalah sama dengan saf para malaikat yang sentiasa menjaga kesempurnaan saf mereka dan saf para malaikat ini hampir dengan Allah s.w.t. Dari sini boleh kita katakan bahawa mereka yang berada di saf paling hadapan adalah orang yang paling hampir dengan Allah dan lebih mudah memperoleh rahmat-Nya.

2) Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada mereka yang berada di saf-saf paling hadapan. Daripada Abu Umamah berkata bahawa Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang berada di saf pertama.” Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, bagaimana dengan saf kedua.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang berada di saf pertama.” Para sahabat bertanya lagi: “Ya Rasulullah, bagaimana dengan saf kedua.” Rasulullah menjawab: “Ya, juga saf kedua.” (Riwayat Ahmad).

Selawat
Menurut Dr. Fadhal Ilahi, makna selawat Allah atas mereka (yang berada di saf pertama) adalah seperti yang dikatakan oleh Imam ar-Raghib al-Asfahani, iaitu: “Tazkiyah (Penyucian daripada dosa-dosa) terhadap mereka.” Selawatnya para malaikat pula: “Iaitu berbentuk doa dan permohonan keampunan.” Alangkah beruntungnya sesiapa yang mendapat tazkiyah daripada Allah dan doa pengampunan daripada para malaikat.

3) Rasulullah memohon keampunan buat mereka di saf pertama sebanyak tiga kali. Daripada ‘Irbadh bin Sariyah bahawa Rasulullah memohon keampunan bagi mereka yang berada di saf pertama tiga kali dan untuk saf kedua hanya sekali.
(Riwayat Ibnu Majah). Alangkah bahagia sekiranya orang yang paling mulia di atas muka bumi ini memohon keampunan untuk kita.
Demikianlah beberapa keutamaan saf paling hadapan di dalam solat berjemaah. Yang amat dikesalkan terdapat ramai di antara kita yang tidak lagi memberi perhatian terhadap keutamaan-keutamaan ini. Umat Islam di Malaysia seakan-akan tidak ghairah merebut saf pertama.
Mereka lebih memilih untuk mendapatkan tempat yang membolehkan mereka bersandar dengan selesa seperti di tiang-tiang atau di dinding masjid, berdekatan dengan kipas dan pintu supaya dapat cepat keluar setelah selesai bersolat.
Ada pula yang datang awal ke masjid tetapi berborak dahulu di luar masjid sambil menghisap rokok. Alangkah ruginya mereka ini. Sesungguhnya Rasulullah menyatakan bahawa sesiapa yang secara sengaja memenuhi saf belakang, maka Allah akan membelakangkan mereka.
Daripada Abu Sa’id al-Khudri bahawa Rasulullah melihat ada sebahagian sahabatnya yang tidak mahu maju ke saf pertama, maka baginda bersabda: Majulah dan ikutilah saya, sedangkan orang-orang di belakang harus mengikutimu pula! Sesuatu kaum yang selalu suka di belakang, tentu akan dibelakangkan pula oleh Allah. (Riwayat Muslim).
Adakah kerugian yang lebih besar daripada kerugian dibelakangkan oleh Allah? Oleh itu datanglah awal ke masjid untuk solat berjemaah dan rebutlah saf pertama.

PERANAN IMAM

Rasulullah sebelum memulakan solat, akan memastikan makmum di belakangnya meluruskan saf terlebih dahulu. Anas bin Malik berkata, ketika telah iqamah untuk solat, Rasulullah menghadap kepada kami dengan wajahnya seraya bersabda: Luruskan saf dan rapatkanlah kerana sesungguhnya aku melihat kalian dari belakangku. (Riwayat Bukhari)
Kebiasaan yang kita lihat di masjid-masjid, para imam hanya melaungkan “luruskan saf”, “luruskan saf” tanpa melihat jemaah di belakang sama ada mereka mematuhi perintahnya atau tidak.
Mereka seperti hanya melepaskan batuk di tangga. Sedangkan Rasulullah akan menghadap para makmum dan memastikan arahan meluruskan saf benar-benar dilaksanakan oleh para sahabat. Malah ada riwayat yang menyatakan Baginda pergi ke setiap barisan untuk melihat sama ada saf benar-benar telah lurus sebelum memulakan solat.
Daripada Albara’ bin ‘Aazib berkata: Adalah Rasulullah memasuki celah-celah barisan (saf) sambil mengusap dada dan bahu kami. (Riwayat Abu Daud).
Pada zaman Umar al-Khattab pula, beliau mewakilkan tugas meluruskan saf kepada seseorang. Beliau tidak akan bertakbir (memulakan solat) sehingga orang yang membantunya dalam meluruskan saf itu memberitahu bahawa saf telah benar-benar lurus. Begitu juga dengan Uthman al-Affan dan Ali bin Abu Talib, mereka berdua bersepakat melakukan apa yang telah dilakukan oleh Umar. Dulu, Ali selalu mengatakan: “Maju wahai si fulan! Mundur sedikit wahai si fulan!”
Penulis menyarankan para imam masjid-masjid di Malaysia agar memerhatikan perkara ini dengan penuh teliti supaya amalan mereka selari dengan sunah Nabi dan Khulafa’ ar-Rasyidin.

CARA MELURUSKAN SAF

Meluruskan saf dalam solat berjemaah merupakan sunah Nabi s.a.w. Malah ada ulama yang memandang penyempurnaan saf dalam solat adalah wajib. Menurut Syaikh Muhammad Nashiruddeen al-Albani: ”Mendirikan dan meluruskan saf hukumnya wajib kerana terdapat perintah yang berasal daripada Rasulullah. Kalimat perintah itu pada asalnya bererti wajib, kecuali ada qarinah (petunjuk lain) yang mengalihkan daripada pengertian wajib tersebut.
Namun, terlalu sedikit di kalangan masyarakat kita yang mengamalkannya. Pada tanggapan mereka kesempurnaan saf hanyalah dengan mempastikan barisan solat itu lurus. Sebenarnya ada beberapa perkara lain yang juga telah diperintahkan oleh Rasulullah berkaitan kesempurnaan saf:

1. Merapatkan bahu dengan bahu orang yang solat bersebelahan dengannya.
2. Merapatkan lutut dengan lutut orang yang solat bersebelahan dengannya.
3. Merapatkan buku lali dengan buku lali orang yang solat bersebelahan dengannya.
Hanya dengan mempraktikkan perkara-perkara di atas barulah tercapai kesempurnaan saf dalam solat berjemaah dalam erti kata sebenar.

Hadis-hadis berkaitan dengan perkara di atas adalah seperti berikut:

* Daripada Nu’man bin Bashir berkata: “Aku melihat seseorang merapatkan bahunya dengan bahu saudaranya, merapatkan (melekatkan) lututnya dengan lutut saudaranya dan melekatkan mata kakinya (buku lali) dengan mata kaki saudaranya.” (Riwayat Abu Daud).
* Daripada Anas bin Malik daripada Nabi s.a.w. bersabda:
(Pada waktu solat) setiap kami meratakan bahunya dengan bahu saudaranya dan telapak kakinya (buku lali) dengan telapak kaki saudaranya. (Riwayat Bukhari).

Sunah Nabi s.a.w. ini seakan-akan sudah lenyap dari masjid-masjid di Malaysia.
Penulis pernah cuba mempraktikkan sunah ini dalam solat berjemaah di beberapa masjid, namun hasilnya amat mengecewakan.

Ramai dari kalangan jemaah akan menjauhkan buku lali dan lutut masing-masing ketika penulis cuba merapatkan saf tersebut.
Mereka seolah-olah tidak selesa merapatkan dan meluruskan saf dengan cara begini.
Namun begitu kita sebenarnya tidak boleh menyalahkan mereka kerana sunah ini memang tidak disebarkan secara meluas di Malaysia, apalagi untuk dipraktikkan.
Penulis yakin sekiranya sunah ini diajar secara meluas di dalam kelas-kelas atau kitab-kitab fardu ain nescaya ia akan diamalkan di seluruh masjid di Malaysia. 



HIKMAH MERAPATKAN SAF

1. Ia merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kesempurnaan solat. Sabda Rasulullah: Luruskan saf kamu, kerana meluruskan saf merupakan sebahagian kesempurnaan solat. (Riwayat Muslim).

2. Ia adalah faktor yang boleh menyatukan hati umat Islam. Sabda Rasulullah: Luruskan saf solat kamu dan janganlah kamu bercerai-berai (dalam mendirikan saf), akan tercera-berai hati kamu. (Riwayat Muslim). Sabda Baginda lagi: Tegakkanlah saf-saf kamu sekalian sebanyak tiga kali, demi Allah (kamu diperintah agar) merapatkan/meluruskan saf-saf kamu, atau Allah akan mencerai-beraikan hati kamu. (Riwayat Abu Daud).
Menurut Syaikh Abu Ubaidah Masyhur:
”Dalam perintah meluruskan dan merapatkan saf merupakan unsur pendekat jiwa yang akan menjalinkan hubungan persaudaraan dan keinginan saling menolong. Bagaimana tidak! Bukankah bahu si miskin berhimpitan dengan bahu si konglomerat, kaki si kuat melekat dengan kaki si lemah. Dan semuanya berada dalam satu saf, bagaikan bangunan yang tersusun sangat rapat.

3. Ia dapat menghindari gangguan syaitan ke atas orang yang bersolat. Sabda Rasulullah:
Rapatkanlah saf kamu sekalian, dekatkanlah antara saf, tegakkanlah tengkuk kamu. Demi Zat yang jiwaku berada dalam genggaman Tangan-Nya, sesungguhnya aku melihat syaitan menyusup di celah-celah saf seperti anak kambing. (Riwayat Abu Daud).

4. Allah mencintai mereka yang menyempurnakan saf. Sabda Rasulullah:
Tidak ada suatu langkah yang sangat dicintai oleh Allah daripada langkah seseorang hamba untuk menyambung (menyempurnakan) saf (dalam solat). (Riwayat Abu Daud).

5. Ganjaran pahala yang besar bagi mereka yang menyempurnakan saf di dalam solatnya. Rasulullah bersabda:
Orang yang paling baik di antara kalian adalah seseorang yang paling lembut bahunya di dalam solat, tidak ada suatu langkah yang pahalanya lebih besar daripada langkah seseorang yang melangkah untuk menutup celah dalam saf. (Riwayat Thabrani).

6. Allah dan para malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada mereka yang menyempurnakan saf dalam solat.
Sabda Rasulullah : Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang berada di saf pertama. Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, bagaimana dengan yang kedua.” Baginda bersabda: Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang berada di saf pertama. Para sahabat bertanya lagi: “Ya Rasulullah, bagaimana dengan yang kedua.” Rasulullah menjawab: Ya, juga bagi saf kedua. (Riwayat Ahmad).
Sayang sekali sunah-sunah berkaitan dengan saf ini telah dilalaikan dan diambil mudah oleh masyarakat Islam bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia.

Apa yang ingin penulis sarankan di sini adalah agar sunah meluruskan dan merapatkan saf ini dihidupkan semula, terutamanya oleh para imam di masjid-masjid seluruh Malaysia.
Para imam hendaklah bersungguh-sungguh mengerjakan sunah ini dan mengajak mereka yang bersolat di belakang melaksanakannya.
Sabda Rasulullah s.a.w mengingatkan:
Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat. (Riwayat Bukhari).

wallahua’lam

sumber

19 April 2011

Syarat Sah Solat